Pada era modenisasi dan diliberalisasi ini, internet merupakan medium atau rangkaian untuk kita
berhubung antara satu sama lain dengan dunia luar. Pelbagai maklumat boleh didapati dengan hanya
menggerakkan satu jari sahaja. Pelbagai medium boleh digunakan seperti Facebook, Twitter, Instagram
dan sebagainya. Internet boleh mendatangkan banyak manfaat kepada penggunanya jika digunakan untuk
tujuan yang baik. Namun begitu, internet juga boleh mendatangkan keburukan kepada seseorang jika
tidak digunakan secara beretika. Mengikut statistik yang telah dikeluarkan oleh Cyber Security Malaysia
(CSM) , kes jenayah siber meningkat dari tahun ke tahun. Setiap 10,000 kes dilaporkan berlaku pada
setiap tahun di negara ini dengan nilai kerugian sebanyak RM2.7 juta antaranya melibatkan kes penipuan
dalam talian dan pencerobohan sistem pengkomputeran. Oleh itu, penyalahgunaan internet bukanlah satu
isu yang boleh kita ambil mudah sahaja, semua pihak harus berganding bahu dalam menangani masalah
sebegini.
Maksud siber buli mengikut National Crime Preventional Council, adalah apabila internet, telefon
bimbit atau alat lain yang digunakan untuk mengirim teks atau imej diniatkan untuk mencedera atau
memalukan orang lain. Isu siber buli memang tidak asing lagi pada kita. Lihat sahajalah contoh pada hari
ini, seperti isu Arlina Banana bertindak ingin membunuh diri kerana tertekan dengan hinaan daripada
pengikutnya di laman sosial. Pelbagai reaksi yang telah diberikan oleh masyarakat terhadap isu seperti ini.
Ada yang menyokong dan ada juga yang mencerca. Jika difikir dengan lebih mendalam lagi, pembuli
siber lebih bahaya daripada perbuatan membuli orang lain kerana pembuli siber boleh sahaja merahsiakan
identitinya dan boleh membuli mangsanya tidak kira masa.
Faktor am berlakunya kes jenayah siber ini pada kebiasaannya berpunca daripada ketidakpuasan hati
seseorang terhadap individu tertentu sama ada atas sebab perilaku, kemewahan, penampilan dan
sebagainya yang ada pada mangsa. penggunaan teknologi yang tiada hadnya menjadikan pembuli siber
lebih berani dalam mendera mangsa secara mental dengan menggunakan kata-kata negatif bertujuan
untuk menyakiti hati mangsa sekaligus memberi penderaan emosi dan mental kepada mangsa. Siber buli
ini mudah dilakukan kerana mereka hanya perlu menaip kata-kata yang tidak sepatutnya seperti perkataan
lucah, hinaan dan berbaur ugutan kepada mangsa supaya dapat menyeksa mental mangsa. perkara ini
mudah sahaja dilakukan kerana pembuli tidak perlu bersemuka dengan mangsa tersebut. Hal ini
menyebabkan pembuli lebih berani untuk mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya kepada mangsa.
Jelasnya, ketidakpuasan hati merupakan faktor am berlakunya kes jenayah siber.
Faktor berlakunya kes jenayah siber buli adalah kerana pembuli siber kurang mendapat perhatian yang
cukup daripada keluarga dan insan terdekat. Hal ini demikian menyebabkan mereka ingin mencari
perhatian daripada orang ramai dengan melakukan perkara yang salah iaitu siber buli. Mereka mengirim
teks seperti kata-kata hinaan, ugutan kepada mangsa. Dengan cara itu, mereka dapat perhatian daripada
umum. Selain itu, faktor berlakunya kes siber buli adalah kurangnya pengetahuan nilai-nilai agama dalam
diri mereka. Sebagai contoh, mereka menghina orang dengan perkataan-perkataan yang lucah, mengedar
gambar yang tidak sepatutnya, membuka aib seseorang dan sebagainya. Perbuatan seperti ini amatlah
ditegah dalam agama. Hal ini boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi yang sangat teruk
dan jika dibiarkan mangsa mungkin mengambil keputusan drastik untuk membunuh diri. Kesimpulannya,
kurang mendapat perhatian yang cukup daripada keluarga dan insan terdekat dan kurangnya pengetahuan
nilai-nilai agama turut menyumbang kepada faktor kes siber buli ini.
Pelbagai kesan yang buruk boleh timbul jika masyarakat tidak mengambil hal ini sebagai sesuatu yang
serius. Kesan perdana yang akan timbul kepada mangsa buli adalah boleh menyebabkan mereka
mengalami tekanan perasaan yang kritikal. Mangsa akan mengalami kemurungan dan hilang keyakinan
diri untuk berhadapan dengan orang ramai. Mereka takut untuk bercampur dengan orang sekeliling kerana
takut dihina dan dicerca oleh umum. Di samping itu, mereka juga akan hilang tumpuan dengan apa yang
mereka lakukan. Hal ini boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, kesan yang akan
dihadapi oleh mangsa jika dibiarkan berterusan boleh membawa kepada membunuh diri. Jika pembuli
berterusan melakukan siber buli, hal ini boleh membawa kepada pembunuhan. Oleh hal yang demikian,
siber buli merupakan kes jenayah yang sangat berat kerana kesan daripada itu membolehkan mangsa
berfikir secara tidak waras yang mendorong mereka untuk membunuh diri seperti mengelar pergelangan
tangan, menggantungkan diri dan sebagainya.
Oleh itu, pelbagai langkah yang harus diambil dalam menangani perkara ini. Masyarakat haruslah
berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya permasalahan ini dapat diselesaikan dengan lebih efisien
lagi. Langkah-langkah yang boleh diikuti dalam membanteras jenayah kes siber buli ini adalah orang
awam harus mengetahui undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Melalui seksyen 223, Akta
Komunikasi Dan Multimedia, sebarang komen, permintaan, cadangan atau setiap komunikasi yang
kedengaran lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau serangan dengan niat untuk menjengkelkan,
memaki dan mengancam atau mengacau orang yang lain dianggap suatu kesalahan. Pesalah boleh
dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun. Oleh itu, siber buli bukanlah
suatu perkara yang boleh dibawa main. Masyarakat perlu tahu isu siber buli adalah suatu yang serius.
Kerajaan Malaysia amat menitikberatkan kes siber buli seperti ini.
Di samping itu, setiap orang haruslah tahu etika-etika berkomputer yang betul yang harus mereka ikuti
dan patuhi. Sebagai contoh, mereka haruslah menghormati pendapat dan privasi orang lain dalam media
sosial. Mereka harus mengutarakan pendapat dengan sopan yang tidak mengandungi perkataan-perkataan
lucah ataupun menghina. Seterusnya, masyarakat perlulah mempunyai kesedaran sivik dan nilai agama
yang tinggi supaya perkara sebegini dapat dibendung dan tidak berlarutan dengan sewenang-wenangnya.
Seharusnya penggunaan internet memberikan banyak manfaat kepada kita bukannya keburukan yang kita
sendiri cipta.
Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya isu siber buli
ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Setiap orang haruslah mematuhi etika dan peraturan yang telah
ditetapkan oleh pihak berkuasa. Isu seperti ini haruslah di ambil berat bukan di pandang sepi begitu
sahaja. Mungkin ianya nampak biasa dan kecil bagi sesetengah orang namun saya percaya isu yang kecil
sebeginilah harus dibendung dahulu sebelum ianya menjadi besar. Siber buli boleh membunuh orang
secara senyap. Oleh itu, setiap orang haruslah menjaga adab dalam menulis atau menyebarkan sesuatu
perkara agar ianya tidak menyakiti hati sesiapa.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteIsi yang padat dengan fakta yang sering berlaku pada zaman teknolgi ini. Huraian yang memuaskan dan tepat dengan situasi. Teruskan usaha anda. PM gamba please.
ReplyDeletehahah...gmbr mahal tuu..oky2 terima kasih..
ReplyDelete